Thursday, May 19, 2011

Projek MRT Tidak Libat Pekan Kajang ???





KAJANG 27 April Projek Transit Aliran Pantas (MRT) Sungai Buloh – Kajang yang sebelum ini mendapat bantahan dan cadangan penambahbaikan agar ia diperhalusi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini semakin mendapat sokongan padu daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Sokongan berkenaan diperoleh hasil mesyuarat bersama pemilik kedai dan tanah serta pemimpin setempat dalam mesyuarat yang diadakan bersama MPK lapor Sinar Harian.

Selain itu, mesyuarat berkenaan juga bersetuju membawa cadangan laluan bawah tanah dan pesisir sungai dibina bagi mengelakkan kawasan pekan Kajang sedia ada digunakan sebagaimana yang terkandung dalam pelan asal projek.

Yang di Pertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, satu mesyuarat yang membabitkan pemilik kedai dan individu yang terlibat dalam projek MRT serta pemimpin setempat telah diadakan di MPKj.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sim dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Zon 21, Yusof Bachek telah hadir bersama dalam perbincangan berkenaan.

“Hasil perbincangan yang diadakan, mereka mahu SPAD membina laluan bawah tanah dan pesisir sungai tanpa membabitkan kawasan pekan Kajang sedia ada dan MPKj menyokong cadangan yang dikemukakan”, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Aduan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Bil 4/2011.

Menurutnya, setiap individu yang terbabit dalam projek MRT ini bolehlah mengemukakan bantahan dan cadangan kepada SPAD sebelum 14 Mei untuk perhatian dan makluman mereka sebelum projek ini dilaksanakan.

“Sememangnya SPAD memberikan tempoh kepada individu yang terbabit dalam projek MRT ini untuk mengemukakan bantahan dan cadangan penambahbaikan demi kebaikan bersama.

“Kita percaya cadangan yang dikemukakan ini akan diperhalusi SPAD dengan mengambil kira kehendak masyarakat setempat dan akan membuat keputusan yang sewajarnya”, katanya.